Di dalam negara yang beriklim panas-lembap tropika seperti 
negara kita, tiupan angin atau alir udara diperlukan untuk mempercepatkan 
peroses sejatan supaya ketidakselesaan oleh kelekitan kulit dapat dikurangkan. 
Proses ini sahajalah yang didapati amat berkesan untuk memberi keselesaan kepada 
kulit di samping penurunan suhu udara yang kerap kali amat sukar untuk dipenuhi 
sekiranya kita bergantung kepada kaedah semulajadi tanpa bantuan alat-alat 
mekanikal seperti pendingin hawa. 
Pengudaraan dan alir udara untuk sesebuah 
bangunan perlu disediakan sama ada secara semulajadi atau secara mekanikal. 
Perkara ini jelas diperuntukkan di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 
1984 (UBBL) yang menghendaki bukaan-bukaan minimum untuk tujuan pencahayaan dan 
pengudaraan semula jadi. Perkara 39(1) hingga (4), 40(1) dan (2) dan 41 (1) 
hingga (4) di dalam undang-undang kecil ini lazimnya dikuatkuasakan oleh 
penguasa-pengusa tempatan terhadap pelan-pelan bangunan yang baru sebagai salah 
satu syarat kelulusan. Di dalam hal ini kita jarang sekali mempersoalkan sama 
ada peruntukan yang disediakan di dalam pelan itu pada akhirnya benar-benar 
dimanfaatkan oleh penghuninya ataupun sebaliknya. 
Kita seringkali bertembung 
dengan beberapa kes yang melibatkan pengubahsuaian bangunan diluar kawalan, 
seumpama penutupan secara kekal telaga udara "air-wells" pada rumah-rumah teres 
yang pada asalnya diperuntukkan untuk tujuan pengudaraan dan pencahayaan 
semulajadi. Di dalam kes untuk mendapatkan kelulusan pelan bangunan, terdapat 
juga kes pelepasan peruntukan untuk mematuhi perkara 39 dan 40, hanya dengan 
menuliskan di atas pelan bangunan perkataan "penghawa dingin akan digunakan". 
walhal setelah bangunan siap dan diduduki tiada sebarang alat penghawa dingin 
dipasang dan kalau dipasang sekalipun hanya seketika sahaja iaitu sewaktu 
pemeriksaan untuk sijil menduduki sedang dilakukan. Contoh kes-kes diatas 
menggambarkan bahawa penguatkuasaan tidak akan berkesan tanpa kefahaman terhadap 
kepentingan setiap peruntukan undang-undang yang berkaitan oleh orang ramai.
Untuk menghargai peruntukan-peruntukan bukaan bangunan yang 
minimum sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang kecil bangunan seragam, 
kita perlu meneliti beberapa perkara asas yang berhubungkait dengan diri kita 
daripada segi kesihatan dan keselesaan. Penyediaan bukaan pada bangunan sama ada 
dalam bentuk telaga udara, tingkap, kekisi dan elemen-elemen dekoratif untuk 
tujuan pengudaraan sebenarnya mempunyai kesan secara langsung dari segi 
fisiologi khususnya di dalam hal kebersihan dan pergerakan udara di dalam 
bangunan. Secara tidak langsung pengudaraan juga mepengaruhi suhu dan kelembapan 
udara di dalam ruang ataupun pada permukaan dinding bilik. 
Sebenarnya peruntukan penyediaan bukaan minimum sebagaimana 
yang termaktub di dalam undang-undang kecil bangunan ini masih lagi tidak 
mencukupi sekiranya tahap keselesaan sebenar ingin dicapai, khususnya didalam 
iklim panas lembap tropika seperti negara kita. Garispanduan rekabentuk 
berteraskan iklim menghendaki luas bukaan pada bangunan di sekitar 40% hingga 
80% daripada luas dinding. Undang-undang kecil bangunan seragam pula hanya 
menghendaki bukaan seluas 10% hingga 20% daripada keluasan lantai. Nyatalah 
bahawa bukaan yang lebih besar diperlukan untuk pengudaraan semulajadi yang 
lebih berkesan, bukan sebaliknya iaitu mengecilkan bukaan hingga ketahap 
kritikal dan memudaratkan. 
Rajah (1) menggambarkan contoh bukaan tingkap pada 
rumah tradisional yang lazimnya memiliki bukaan boleh tutup dan juga bukaan 
kekal yang terdiri daripada elemen dekoratif di bahagian atas tingkap.

Rajah (1) Elemen-elemen dekoratif yang berfungsi sebagai bukaan 
kekal untuk alir- 
udara semulajadi
PERANAN PENGUDARAAN DAN ALIR-UDARA
Kita perlu memahami peranan atau fungsi pengudaraan dan alir 
udara terlebih dahulu sebelum kita dapat menghargai betapa pentingnya peruntukan 
bukaan kepada bangunan yang sewajarnya dipatuhi. Kegagalan kita untuk menilai 
perkara ini akan menyebabkan kita mengambil ringan kehendak-kehendak asas 
rekabentuk bangunan yang sensitif kepada iklim dan dapat memberi keselesaan 
kepada penghuninya. Berikut ialah peranan-peranan yang asas pengudaraan dan alir 
udara didalam bangunan:
a) Untuk memenuhi kehendak kesihatan iaitu mengekalkan 
kualiti udara di dalam bangunan di atas satu paras minimum, iaitu menukarkan 
udara terpakai dengan udara bersih. Keadaan ini mesti dipatuhi dalam sebarang 
situasi dan rekabentuk.
b) Untuk menghasilkan keselesaan terma , iaitu untuk 
menambahkan kehilangan haba badan dan mengurangkan ketidakselasaan oleh kulit 
yang lembab dan lekit.
c) Untuk menyejukkan struktur bangunan apabila berlaku 
keadaan suhu didalam ruang bangunan meningkat lebih tinggi daripada suhu di luar 
bangunan.
Pengudaraan untuk memenuhi keperluan kesihatan
Keperluan asas ini perlu dipenuhi tanpa sebarang pengecualian. 
Secara mudah kehendak ini bermaksud membekalkan oksigen dengan secukupnya untuk 
pernafasan dan aktiviti-aktiviti lain, serta untuk mencegah kenaikan kadar 
kandungan karbondioksid dan bau yang tidak diingini. Sebagai contoh, sekiranya 
sebuah ruang dapur tidak mempunyai lubang udara,ia mestilah dilengkapi dengan 
peralatan pengudaraan mekanikal lain yang berupaya mengurangkan kandungan 
karbondioksid dan hasil pembakaran lain dibawah paras bahaya. Syarat-syarat 
minimum seperti yang dikehendaki oleh Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 
adalah untuk memenuhi fungsi kesihatan ini. Oleh itu sekiranya kehendak-kehendak 
ini tidak dipatuhi, perkara-perkara negatif yang mengancam kesihatan seperti 
sesak nafas, rasa terpengap dan bau yang tidak di ingini sentiasa mengganggu 
hidung akan dialami oleh penghuninya. Suasana tidak nyaman ini kerapkali berlaku 
pada waktu malam atau waktu hujan apabila penghuni menutup semua tingkap dan 
tidak terdapat bukaan kekal diperuntukkan pada dinding atau bumbung bangunan. 
Pengudaraan untuk keselesaan terma
Kandungan kelembapan udara dan panas matahari yang sentiasa 
tinggi menyebabkan kulit kita sentiasa terasa lekit dan tidak selesa. Fenomena 
iklim panas lembap ini hanya boleh diredakan dengan meniupkan angin untuk 
mempercepatkan proses sejatan pada kulit. Di dalam hal menyediakan keadaan terma 
yang selesa iaitu mencegah ketidakselesaan yang disebabkan oleh kepanasan dan 
kelekitan kulit ini, bekalan udara yang cukup kelajuan dan kadar tukarannya 
adalah diperlukan. Kadar aliran dan kelajuan udara pula dipengaruhi oleh 
geometri ruang dan lokasi bukaan. Oleh itu penentuan awal iaitu semasa peringkat 
rekabentuk perlukan penelitian yang mendalam supaya perkara- perkara ini dapat 
diterapkan dan bukan sekadar agakan yang kurang tepat. Perlu juga diingat bahawa 
kelajuan udara untuk keselesaan perlu bertambah apabila suhu semakin meningkat. 
Oleh itu kaedah-kaedah yang innovetif perlu difikirkan agar keselesaan masih 
dapat dikekalkan walaupun kesan keikliman meningkat menjadi lebih kritikal 
khususnya pada waktu tengah hari dan lewat petang. Matlamat rekabentuk kita 
mestilah memafaatkan angin yang sedia ada dengan memasukkannya kedalam bangunan 
serta melengkapkan bangunan dengan kaedah bantuan sekiranya angin tidak 
diperolehi. 
Pengudaraan untuk penyejukan struktur
Udara sebenarnya memiliki kapasiti terma yang rendah. Oleh itu 
sekiranya sesebuah bangunan tidak berpengudaraan, suhu udaranya tetap berada 
pada aras suhu permukaan dalam. Suhu permukaan dalam pula berubah mengikut 
purata suhu permukaan luar. Terdapat perhubungan terus di antara purata suhu 
permukaan luar dan dalam, iaitu ia dipengaruhi pula oleh warna dinding luar 
bangunan berkenaan. Suhu lazimnya meningkat sekiranya warna digelapkan. Tahap 
ketinggian turun-naik suhu ini pula ditentukan oleh kapasiti terma, rintangan 
terma dan julat suhu permukaan luar bangunan. Oleh itu suhu adara didalam 
bangunan terbukti dipengaruhi oleh ciri-ciri komponen binaan atau struktur 
banguanan. Hasil daripada beberapa penyelidikan, telah terbukti bahawa kesan 
penyejukan oleh pengudaraan sememangnya bergantung kepada perbezaan suhu luar 
dan dalam bangunan. Pengudaraan berupaya menurunkan suhu pada bahagian luar 
bangunan dan seterusnya mengakibatkan penurunan suhu bahagian dalam dan suhu 
udara yang terkandung di dalamnya. Peranan ini perlu diambilkira khususnya bagi 
penurunan suhu bumbung dan ruang loteng bangunan.
MEKANISME PENGUDARAN DAN ALIR UDARA
Udara akan mengalir atau bergerak melalui sebuah bangunan hanya 
sekiranya terdapat perbezaan tekanan. Terdapat dua bentuk tekanan yang akan 
menyebabkan aliran ini berlaku iaitu:
a) Tekanan terma iaitu cerunan suhu antara bahagian luar dan 
dalam bangunan. 
b) Tekanan angin yang akan mangalirkan angin luaran kedalam 
bangunan.
Tekanan terma
Apabila purata suhu udara di luar dan di dalam bangunan adalah 
berbeza, maka perbezaan ketumpatan juga berlaku dan menyebabkan cerunan tekanan 
udara secara menegak terbentuk. Sekiranya suhu didalam lebih tinggi dan dua 
bukaan disediakan, satu pada bahagian atas dan satu lagi pada bahagian bawah 
dinding, udara akan mengalir keluar pada bahagian atas bukaan yang disebabkan 
oleh tekanan yang lebih tinggi terbentuk pada bahagian atas ruang bangunan. 
Sementara itu tekanan rendah terbentuk pada bahagian bawah yang menyebabkan 
udara sejuk mengalir masuk kedalam bangunan.
Mekanisme ini dapat memenuhi keperluan kesihatan tetapi tidak berupaya meyebabkan udara bergerak laju untuk memenuhi keperluan keselesaan terma. Di Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang biasanya mensyaratkan bangunan dilengkapi dengan serombong asap pada bahagian dapur kecuali dapur gas digunakan dan semua telaga udara tidak
dibenarkan ditutup samasekali kecuali dengan penutup boleh ubah 
dan bumbung bertingkat yang berbukaan kekal (sila rujuk Rajah 2). Syarat-syarat 
ini sebenarnya bertujuan untuk menyediakan tukaran udara bersih secara semula 
jadi berlaku tanpa gangguan sepertimana yang dikehendaki oleh Undang-undang 
Kecil Bangunan Seragam.

Rajah 2: Telaga udara boleh ditutup dengan bumbung 
bertingkat
Prinsip tukaran udara menerusi tekanan terma dapat berfungsi 
dengan lebih aktif lagi sekiranya ketinggian rumah yang lebih dapat diadakan 
dengan bukaan pada bahagian teratas dan terbawah sekali. Sebagai contoh, konsep 
"split level" dan isipadu berganda dapat diterapkan dalam rekabentuk rumah 
kediaman untuk memastikan kesan yang optimum terhadap pertukaran udara. Rajah 3 
menggambarkan bagaimana dapur berperanan sebagai sumber udara panas di dalam 
sebuah rumah diterapkan dengan konsep isipadu berganda untuk menghasilkan kesan 
tekanan terma yang lebih berkesan. Udara panas dari dapur akan bergerak keatas 
dengan lebih berkesan oleh kesan isipadu berganda dan keluar menerusi rongga di 
puncak bumbung. Seterusnya udara sejuk akan mengalir masuk melalui ruang tamu ke 
ruang dapur oleh proses perolakan. Prinsip rekabentuk ini sebenarnya lebih 
berkesan daripada rekabentuk lazim yang meletakan dapur pada tingkat bawah dan 
mengharapkan tukaran udara berlaku menerusi bukaan pada tingkat bawah sahaja. 

Rajah 3: Penerapan kosep isipadu berganda
( Tekanan terma menjadi lebih berkesan apabila perbezaan 
tingginya lebih besar)
Satu lagi cotoh penerapan pengalirkan udara secara tekanan 
terma ialah menerusi prinsip peneduhan dengan menggunakan elemen landskap. Rajah 
(4a) menggambarkan peneduhan dan pengudaraan secara terus iaitu pohon-pohon yang 
rimbun meneduhi bumbung rumah supaya panas matahari dapat dikurangkan. Rajah 
(4b) pula menggambarkan bagaimana udara sejuk daripada rimbunan pohon-pohon yang 
berada berhampiran dengan rumah dapat disedut kedalam rumah secara tidak 
langsung dengan kaedah tekanan terma.

Rajah 4a: Penyejukan secara terus

Rajah 4b: Penyejukan secara tidak langsung
Tekanan angin
Salah satu sumber pengudaraan semulajadi ialah tiupan angin 
yang bertiup dengan kelajuan dan arah yang tertentu. Apabila angin bertiup 
kearah sebuah bangunan, alirannya yang lurus akan terpecah-pecah dan terlencong 
keatas dan kesisi bangunan berkenaan. Bahagian bangunan yang menghadap arah 
angin akan mengalami tekanan dan bahagian yang membelakangi arah angin akan 
mengalami kesan sedutan. Sekiranya terdapat bukaan pada kedua-dua bahagian 
bangunan ini, angin akan mengalir masuk menerusi ruang dalam bangunan (sila 
rujuk rajah 4). 

Rajah 4: Fenomena tekanan angin
Disamping perubahan arah dan kelajuan, kesan-kesan sampingan 
lain juga akan terjadi apabila angin menghadapi halangan. Salah satu kesan 
sampingan ini ialah kesan sedutan dan aliran undur yang juga berupaya 
mengalirkan angin pada arah yang bertentangan tetapi memiliki kelajuan yang 
bersesuaian untuk keselesaan. Kesan negatif ini sebenarnya dapat dimanfaatkan 
untuk tujuan pengudaraan di dalam bangunan. Rajah 5a menunjukkan bagaimana 
sebuah bangunan tinggi yang diletakkan dibahagian belakang deretan rumah 
menyebabkan aliran undur terjadi. Rajah 5b pula menggambarkan sekiranya bangunan 
tinggi ini berada di hadapan, kesan sedutan oleh aliran undur menjadi lebih 
aktif lagi. 

Rajah 5a: Bangunan tinggi berada di belakang deretan 
rumah-rumah

Rajah 5b: Aliran undur oleh halangan dihadapan
Kesan campuran
Dalam keadaan sebenar, tekanan terma dan tekanan angin kerap 
bertindak bersama untuk menghasilkan alir udara dan pengudaraan didalam 
bangunan. Pengudaraan oleh kuasa terma bergantung kepada hasil perbezaan suhu di 
dalam dan di luar bangunan serta perbezaan tinggi diantara bukaan yang teratas 
dan terbawah. Untuk bangunan kediaman, perbezaan tingginya terlalu kecil iaitu 
disekitar 2 meter sahaja, menyebabkan keberkesanannya kurang nyata. Apabila 
keadaan agak panas, kuasa terma terlalu rendah untuk menghasilkan aliran udara 
yang berkesan, kecuali tandas dan bilik air yang mempunyai paip pengudaraannya 
sendiri. Kaedah ini sebenarnya akan menjadi lebih berkesan sekiranya saloran 
ventilasi boleh diadakan untuk bangunan bertingkat dengan mengambil kira 
ketinggian keseluruhan atau sebahagian bangunan ini. Kuasa terma yang membentuk 
aliran udara dengan perbezaan tekanan sahaja menghasilkan aliran dengan kelajuan 
yang rendah.
Aliran udara yang dihasilkan oleh tekanan angin akan 
mengalirkan angin hampir keseluruh ruangan bilik, sementara aliran oleh kuasa 
terma hanya tertumpu di bahagian yang berhampiran dengan bukaan sahaja. 
Sekiranya kedua-dua makanisme ini dapat dikawal menerusi perincian rekabentuk 
yang tepat dan dibenarkan bertindak bersama, alir udara yang lebih berkesan 
daripada segi tukaran udara dan kelajuan akan dapat di hasilkan. Sebagai contoh, 
rumah tradisonal Melayu kerap menerapkan bukaan tingkap yang memanjang hingga 
keparas lantai dan tiada bersiling supaya ketinggiannya menjadi optimum. Oleh 
yang demikian udara panas akan naik dan terus keluar pada bahagian tebar layar 
dipuncak bumbung. Angin pula akan bertiup merentasi ruang rumah tanpa halangan. 
Kedua-dua kaedah ini saling bantu membantu untuk menghasilkan pengudaraan 
semulajadi yang paling berkesan.
FAKTOR REKABENTUK YANG MEMPENGARUHI ALIRAN UDARA
Untuk menghasilkan taburan aliran udara yang berkesan di dalam 
sesebuah ruang faktor-faktor yang mempengaruhinya perlulah diteliti terlebih 
dahulu. Terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi corak aliran udara di dalam 
sesebuah bilik:
a. Taburan tekanan disekeliling bangunan
b. Inersia udara yang bergerak.
Keadaan topografi,tumbuh-tumbuhan, objek-objek tiga dimensi 
seperti bangunan dan tembok akan menyebabkan taburan tekanan di sekeliling dan 
di luar bangunan berubah atau menyebabkan arah asal angin utama melencong. Oleh 
itu objek-objek seperti tembok dan tumbuh-tumbuhan boleh diterapkan untuk 
memperbaiki taburan dan arah atau sebaliknya. Sebagai contoh pohon-pohon yang 
sederhana rimbunnya boleh ditanam pada jarak yang sesuai supaya angin akan 
tertumpu pada arah yang dikehendaki (sila rujuk rajah 6). Kelajuan udara juga 
boleh ditingkatkan sekiranya angin dibenarkan menumpu melalui dua deretan 
pokok-pokok sebelum masuk kedalam bangunan (sila rujuk rajah 7).

Rajah 6: Pelencungan angin oleh pohon-pohon

Rajah 7: Kesan penumpuan untuk meningkatkan kelajuan
Disamping dua faktor yang tersebut di atas, terdapat juga 
faktor-faktor geometri yang boleh dikawal oleh perekebentuk serta berupaya 
menentukan corak dan juga kelajuan angin didalam ruang. Berikut ialah faktor 
yang berkenaan:
a. Orientasi tingkap
Berdasarkan kepada beberapa kajian, angin pada arah 45 darjah 
kepada lubang masuk akan bertindak memenuhi seluruh bilik dengan peningkatan 
kelajuan pada sisi dinding dan pada penjuru bilik. Pengudaraan yang lebih baik 
dicapai apabila aliran udara bertukar arah di dalam bilik daripada aliran yang 
terus menerus daripada lubang masuk ke lubang keluar. Penemuan-penemuan ini amat 
berfaedah kerana dapat membantu para perekabentuk dari terus terkonkong oleh 
andaian secara teori yang memerlukan arah angin mestilah menghala tepat kearah 
dinding dan sekatan- sekatan di dalam ruang akan menjadi penghalang terus aliran 
angin. Oleh itu orientasi untuk kemasukan angin adalah lebih fleksibel daripada 
orientasi untuk haba matahari yang agak spesifik dan sekatan boleh diadakan 
tetapi mestilah dapat menghasilkan pengudaraan yang baik.
b. Ukuran tingkap
Sekiranya sebuah bilik itu mempunyai bukaan masuk dan keluar 
dengan pengudaraan rentas yang baik, kelajuan udaranya boleh dikawal dengan 
menambahkan sais tingkapnya. Dengan memperbesarkan bukaan masuk dan keluar 
secara serentak, kelajuan udaranya juga akan bertambah. Sekiranya sais tingkap 
bilik berbeza-beza, kelajuan udara yang lebih tinggi boleh diperolehi dengan 
sais bukaan keluar yang lebih besar daripada bukaan masuk. Keadaan ini boleh 
dimanfaatkan di dalam rekabentuk bangunan khususnya di dalam mempelbagaikan 
rekabentuk fasad disamping memenuhi keperluan pengudaraannya.
c. Pengudaraan rentas
Pengudaraan rentas dapat dipenuhi dengan menghubungkan ruang 
pada bahagian sedutan dan tekanan angin. Lazimnya bukaan pada dua sisi dinding 
yang bertentangan diperlukan untuk membolehkan keadaan ini berlaku. Tetapi di 
dalam keadaan sebenar, kita mungkin tidak dapat menyediakan bukaan pada sisi 
yang bertentangan kerana susunan bilik yang tidak mengizinkannya. 
Walaubagaimanapun pengudaraan rentas masih boleh berlaku dengan menyediakan dua 
bukaan pada sisi yang sama dengan syarat aliran angin pada arah oblik. Sekiranya 
angin datang pada arah 90 darjah tepat kepada dinding, aliran udara tidak akan 
berlaku di dalam bangunan. Sebenarnya pengudaraan yang lebih baik dapat dicapai 
dengan melengkapkan kedua-dua tingkap dengan unjuran menegak (sila rujuk rajah 
8).

Rajah 8: Memperbaiki pengudaraan rentas bukaan pada satu 
sisi.
Kesimpulannya, perubahan yang menggalakkan masih dapat dicapai 
oleh bangunan yang memiliki satu bahagian dinding luar seumpama bangunan pejabat 
atau bilik-bilik darjah, dengan syarat aliran angin mestilah pada arah oblik di 
antara 20-30 darjah dan bukaan ditambah dengan unjuran menegak tetapi tidak 
terlalu panjang sehingga mengganggu aliran tingkap yang satu lagi.
d. Lokasi tingkap secara menegak
Kedudukan tingkap pada kedudukan menegak dan rekabentuk bukaan 
masuk adalah lebih kritikal daripada bukaan keluar, kerana ia akan menentukan 
corak aliran angin yang akan masuk ke dalam bilik. Ketinggian ambang tingkap 
akan menentukan samaada angin akan bertiup pada zon kediaman atau sebaliknya. 
Sekiranya ambang tingkap terlalu tinggi, sudah tentulah angin tidak akan bertiup 
pada bahagian kepala sahaja dan begitulah sebaliknya. Begitu juga tingkap yang 
berbagai jenis berupaya mempengaruhi aliran angin di dalam bangunan. Oleh itu 
pilihan yang paling baik dapat dibuat berdasarkan kepada keperluan. Sebagai 
contoh, tingkap "nako" yang mempunyai bilah-bilah pepisau boleh laras berupaya 
menyalorkan angin pada arah yang dikehendaki hanya dengan mengubah bilah-bilah 
pepisaunya (sila rujuk rajah 9).

Rajah 9: Aliran dilaraskan oleh tingkap boleh laras
e.Sekatan dan pembahagian ruang dalaman
Apabila lebar bangunan melebihi lebar sebuah bilik, pengudaraan 
untuk setiap bilik lazimnya bergantung bilik-bilik yang lainnya. Masalah ini 
boleh diatasi dengan meletakkan bilik yang lebih besar menghadap arah angin dan 
bilik yang lebih kecil pada bahagian belakangnya ( sila rujuk rajah 10).

Rajah 10: Susunan bilik yang optimum
PENGUDARAAN DAN PERANCANGAN BANDAR
Pengudaraan semulajadi bergantung sepenuhnya kepada angin yang 
sedia ada. Seperti yang telah disentuh di dalam bahagian 4, kehaziran dan 
kelajuannya dipengaruhi oleh keadaan persekitan yang sebahagian besarnya 
ditentukan pada tahap yang lebih asas iaitu di tahap perancangan lagi. Oleh itu 
adalah penting untuk menanamkan kefahaman dan peri pentingnya asas-asas prinsip 
pengudaraan secara menyeluruh di dalam aspek perancangan bandar dan wilayah 
supaya penerapan elemen-elemen perancangan tidak bercanggah dengan keperluan 
keselesaan manusia dan seluruh penghuni alam. 
Perancangan bandar mempengaruhi 
faktor-faktor persekitaran yang penting kepada keselesaan manusia, terutamanya 
cahaya matahari, peneduhan, ketinggian bangunan, pengawalan sinar matahari, 
hujan, debu di luar bangunan dan keadaan pengudaraan di dalam dan di luar 
bangunan. Ketinggian sesuatu struktur merentasi keratan bandar, jarak bangunan, 
persamaan dan perbezaan sais, tinggi, keratan, taburan dan pembahagian tempat 
lapang dan taman mempengaruhi aliran angin. 
Matlamat perancangan bandar di kawasan yang beriklim panas 
lembap tropika ialah mengioptimumkan pengudaraan semulajadi serta memaksimumkan 
kawalan peneduhan matahari kepada bangunan, jalan dan tempat permainan. Sesebuah 
bangunan yang lebih tinggi daripada bangunan di sekitarnya boleh mengubah corak 
aliran angin disekitar bahagian bawah bangunan. Oleh itu kawalan angin serta 
hujan yang khusus amat perlu untuk keselesaan penduduk di sesebuah 
daerah.
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada penjelasan yang telah diberikan, pengudaraan 
perlu diadakan didalam bangunan samaada secara semulajadi atau mekanikal. 
Peruntukan bukaan minimum untuk tujuan pencahayaan dan pengudaraan secara 
semulajadi telah pun tersedia sepertimana yang terkandung di dalam Undang-undang 
Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984. Kefahaman terhadap peranan bukaan (tingkap, 
pintu dan bukaan-bukaan kekal lain) pada bangunan khususnya di dalam menyediakan 
alir-udara secara semulajadi dan kaitannya dengan kesihatan dan keselesaan 
penghuni serta penyejukan ruang dalamam sesebuah bangunan akan dapat 
menginsafkan kita agar sentiasa mematuhi kehendak (UBBL) dan kehendak-kehendak 
penguasa tempatan. Kita sepatutnya memperbaiki dan meperluaskan kefungsian 
bukaan secara kreatif dan bijaksana untuk memakmurkan dan memanjangkan hayat 
bangunan. Faktor-faktor seperti sais, kedudukan bukaan,dan ciri-ciri lain adalah 
di dalam kawalan perekabentuk, perlu diterapkan dari peringkat awal lagi iaitu 
semasa diperingkat rekabentuk bangunan. Disamping itu faktor-faktor luaran yang 
terangkum di dalam aspek perancangan bandar seperti susunatur, pengzonan, 
kawasan terbuka dan sebagainya juga perlu pertimbangan awal agar tiupan angin 
dapat dimanfaatkan. Seterusnya keseluruhan elemen-elemen landskap yang dapat 
membantu memberi keselesaan menerusi pengudaraan secara semulajadi juga perlu 
disepadukan.
Rujukan
1. Warta Kerajaan Malaysia. (1985). Undang-Undang Kecil 
Bangunan Seragam 1984.
2. S V Szokolay. (1980). Environmental Science Handbook, The 
Construction Press Ltd. England.
3. Evans M. (1980). Housing Climate and Comfort, The 
Architectural Press Ltd. London.
4. H J Cowan & P R Smith (1983). Environmental Systems, Van 
Nostrand Reinhold Co.Ltd. New York.
 
No comments:
Post a Comment